Seorang wanita gagal minta tukar tempat kerja hingga dicerai suami

Gambar Hiasan Carian Google
Gambar Hiasan Carian Google

Saya ibu kepada dua anak dan berpisah dengan suami tujuh bulan lalu. Mulanya saya takut bercerai dan sanggup menelan cacian suami.

Kami berjauhan kerana saya tidak dapat bertukar. Saya pernah meminta tukar tetapi gagal kerana tiada kekosongan.

Namun suami enggan mengalah kerana selesa dengan persekitaran tempat kerja. Mulanya pertelingkahan kecil, tetapi lama-kelamaan makin teruk sehingga suami mengugut untuk mengahwini wanita lain kerana sunyi.

Saya terkilan kerana dia mementingkan diri dan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berpisah. Kami bercerai kerana dia mengugut untuk menjalin hubungan luar.

Banyak kali saya bersabar kerana dia tidak menghargai usaha saya menjaga anak meskipun berjauhan.

Malah, saya menjaga kehormatan diri dan menahan hati apabila dia meluahkan perkataan tidak elok kepada saya serta anak. Selepas bercerai, dia memujuk saya rujuk kembali.

Entahlah, saya tawar hati serta enggan bergantung harap padanya. Namun keluarga mentua berusaha memujuk kerana sayangkan saya serta anak.

YONNE
Kuala Lumpur

Pernahkah puan mendengar cerita anak yang mengetuk paku di dinding selepas disuruh ayahnya setiap kali anaknya ingin memarahi orang lain?

Dalam cerita itu, si anak kemudian disuruh menanggalkan paku di dinding dan si ayah meminta anaknya meneliti kembali bahagian berkenaan.

Si anak menjawab bekas paku masih kelihatan, lalu si ayah menasihati dan memberi gambaran, begitu juga dilakukan anaknya setiap kali memarahi orang di sekelilingnya.

Situasi ‘bekas paku’ itu adalah gambaran perasaan puan ketika ini. Rasa terluka, kecewa dan marah masih bersisa dalam hati disebabkan tingkah-laku bekas suami sebelum ini. Jadi puan teragak-agak kerana enggan melalui fasa sama.

Justeru, luahkan kebimbangan supaya bekas suami jelas dengan perasaan puan ketika itu. Namun dalam situasi ini, puan lebih masak serta bijak menilai sikap suami sama ada dia benar-benar sesal serta mahu berubah.

Kadangkala kegagalan serta konflik berlaku boleh menjadi guru terbaik kepada individu. Pertimbangkan segala sudut termasuk anak, keluarga kedua-dua pihak serta kebaikannya pada diri puan andai memaafkannya.

Mana tahu peluang kedua menjadi pengikat jodoh yang membawa kebahagiaan selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.