Adik Adam Hidap Kanser Saraf Tulang Perlukan Doa Untuk Teruskan Kehidupan

Hati ibu mana yang tidak sedih dan luluh saat dimaklumkan anak lelaki kesayangan yang ketika itu baru sahaja berusia tiga tahun menghidap penyakit yang menjadi igauan ramai, iaitu penyakit kanser saraf tulang.

Terasa dunia gelap seketika, musnah semua perancangan yang diatur buat anak pertama pasangan Nur Afiqah Osman, 29 dan Muhamad Nasir Ishak, 30 yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini.

Anak lelaki pasangan ini yang diberi nama Muhammad Adam Rayyan yang kini berusia tujuh tahun, sememangnya anak yang kuat dan tabah melawan penyakit kanser sarat tulang, tahap 4 yang didiagnosis tiga tahun yang lalu.

Usianya yang masih kecil ketika itu membuatkan anak kecil yang mesra dengan panggilan Adam ini kekal ceria dan aktif walaupun ketika menjalani rawatan untuk penyakit yang dihadapinya itu.

“Saat pertama kali doktor memberitahu anak saya mengidap kanser, hanya Tuhan tahu perasaan saya. Sangat sedih dan tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hancur hati saya. Kami sekeluarga berada dalam kesedihan dan ia turut memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain juga.

Persoalan kenapa Adam yang menerima ujian ini bermain di benak fikiran saya. Memang ambil masa yang lama untuk semua ahli keluarga kami untuk menerima berita sedih ini.

Namun saya perlu redha dengan ketentuan Ilahi buat saya dan keluarga. Memang berat untuk ditempuhi tapi ini merupakan ujian buat kami semua. Bayangkan ketika Adam disahkan mempunyai mempunyai kanser saraf tulang pada 2 Julai 2014, dia baru berusia tiga tahun. Masih kecil dan tak mengerti apa yang dihidapinya. Dia tetap aktif dan ceria, sedikit pun tak nampak bahawa dia sakit. Masa jalani rawatan dan perlu disuntik pun dia masih boleh bermain lagi. Memang Adam anak yang kuat.”

Perlu lebih kuat

Sebagai ibu bapa, Afiqah dan Muhammad Nasir perlu menjadi kuat untuk anak kecil mereka. Sokongan emosi diperlukan untuk membuatkan si kecil tersayang terus mempunyai kekuatan bagi melawan penyakit yang dihidapi.

“Setiap kali Adam jalani rawatan, itulah waktu yang sangat mencabar dan menggugat hati saya. Sedih melihat Adam yang perlu menjalani pelbagai rawatan pada usia yang masih kecil. Saya cuba sedaya-upaya kuat di depan dia, bagi sokongan terutamanya ketika hendak disuntik dan sebagainya. Dia memerlukan semangat saya untuk lebih kuat setiap kali menjalani rawatan di hospital.

Jika dibuat perbandingan, suami lebih kuat sebab saya tak pernah lihat dia menangis. Dia lebih bersemangat dan sentiasa berusaha untuk buatkan Adam happy. Selain itu, ahli keluarga yang lain juga banyak membantu kami berdua untuk melalui saat ini. Alhamdullilah syukur, ada keluarga yang banyak memberi sokongan daripada segi mental dan fizikal untuk keluarga kecil saya ini.”

Mengakui ketika mula mengetahui tentang penyakit kronik yang dialami anak tersayang, kehidupan mula berubah. Jika dahulu kehidupan berjalan lancar, kini keluarga ini perlu melalui waktu sukar. Lebih menyulitkan keadaan, Afiqah diberhentikan kerja saat anak memerlukan wang yang banyak untuk menjalani rawatan.

Benarlah Allah tidak menduga hambanya di luar kemampuan. Ujian yang menimpa mereka berjaya dilalui bersama. Kini masing-masing lebih menghargai antara satu sama lain dan dapat menjaga anak yang sakit dengan tenang dalam suasana keluarga yang harmoni.

“Pada awalnya hidup kami memang berubah. Daripada senang, kami terpaksa lalui masa yang sukar. Saya diberhentikan kerja dan pada masa tu saya tak dapat nak bayar komitmen pinjaman yang dibuat semasa bekerja dahulu. Masa banyak dihabiskan di hospital. Sekarang, Alhamdulillah kami berjaya lalui saat-saat genting itu.

Terima kasih kepada yang banyak membantu daripada segi kewangan dan sebagainya terutama ahli keluarga terdekat. Sekarang saya dan suami lebih menghargai antara satu sama lain dan dapat menjaga Adam dalam suasana keluarga yang saling menyayangi.”

Adam semakin lemah

Setelah menjalani 15 kali rawatan radioterapi, kini Adam tidak lagi seaktif dahulu. Hendak berjalan pun, dirinya sudah tidak kuat. Tiada lagi rawatan yang boleh dibuat terhadap anak kecil yang kini berusia tujuh tahun. Dia kini lebih kerap berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan darah dan menambah darah di dalam badan. Apa yang boleh dikatakan keadaan Adam kini semakin membimbangkan. Namun sebagai ibu, jauh di sudut hati, Afiqah ingin melihat Adam kembali sihat dan aktif seperti dahulu semula.

“Sudah semestinya harapan saya nak tengok Adam kembali sihat dan aktif macam dulu. Saya nak dia jalani zaman kanak-kanak sama seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Walaupun itu mungkin sukar untuk jadi kenyataan, tapi sebagai ibu saya tak pernah berputus asa untuk harapkan yang terbaik dalam hidup kami sekeluarga. Saya tak nak minta bantuan lain daripada anda semua, yang saya perlukan adalah doa kalian untuk Adam supaya terus kuat dan jika diizinkan Allah dapat sembuh daripada penyakit ini.”

Sumber: Majalah Pa&Ma

Post Comment